SERIAN: Penduduk yang layak termasuk individu berusia 18 tahun boleh mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bermula hari ini, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Menurut beliau, Sarawak kini sudah memasuki fasa ketiga Program Imunisasi Covid-19 dan rakyat akan diberikan suntikan vaksin berdasarkan janji temu mereka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang ditetapkan.
"Bagi fasa pertama ialah untuk barisan hadapan dan yang kedua ialah untuk golongan berisiko tinggi termasuk mereka yang mempunyai komorbiditi dan warga emas berusia 60 tahun ke atas," katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Balai Raya Serian di sini.
Tambah Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Sarawak tidak menggunakan sistem secara fasa di pedalaman untuk memudahkan rakyat.
Manakala katanya, sambutan program vaksinasi di Sarawak amat memberangsangkan dengan seramai 855,749 penduduk sudah divaksin setakat ini.
"Sebagai rekod, seramai 59,225 orang telah diberi vaksin dan daripada jumlah tersebut, 56,975 sudah menerima dos pertama mereka setakat semalam.
"Sementara itu, seramai 2,600 penduduk di Serian telah diberi vaksin dengan sasaran suntikan sebanyak 2,800 dos diberikan setiap hari di sini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Uggah mengingatkan pekerja industri di Sarawak bahawa vaksin diberikan secara percuma kepada mereka.
Kata Uggah, pihaknya sedia maklum terdapat iklan daripada beberapa syarikat yang mengatakan pekerja perlu membayar sejumlah wang untuk mendapatkan suntikan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan vaksin diberikan secara percuma di semua PPV industri dengan kos PPV serta caj perkhidmatan bagi pasukan mengendalikan vaksinasi tersebut akan ditanggung oleh majikan.
Sumber dari : Jiwa Bakti